Jumat, 01 Januari 2010

CURAHAN SEORANG AYAH KEPADA ANAKNYA

ASSALAMUALAIKUM WA RAHMATULLAH WA BARAKATUH

Salam sayangku pada mu, anakndaku Ayu. Semoga Ayu dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.

Maafkan ayah kerana mengganggu kesejahteraan dan ketenangan hidupmu bersama mama. Ayah datang bukan sekadar meminta apa-apa dari Ayu. Ayah hanya ingin mengenali Ayu yang lama ayah tak belai selepas mama dan ayah berpisah. Ayah tahu Ayu merasa terharu atas ketibaan ayah yang tidak terduga dan tidak diundang. Ayah merasa malu kerana datang pada waktu yang Ayu memerlukan ketenangan.

Ayu, maaf dan ampunkan dosa ayah kepada Ayu, yang ayah tahu tertanya-tanya tentang ayah. Bukan kerana ayah tidak mahu datang atau mengunjungi Ayu, tetapi yang nyata halangannya terlalu banyak untuk ayah hadapi. Mungkin ayah ini penakut orangnya. Bukan takut kepada apa atau sesiapa, tetapi takut menyusahkan orang. Nyata fikiran ayah jauh meleset tentang perasaan Ayu. Maafkan ayah yang hilang berkalungkan airmata semasa mama mengambil Ayu dari dakapan ayah yang amat pilu melihat anak yang dijaga ayah selama setahun dari beberapa minggu usianya sehingga hari terakhir yang ayah lihat Ayu sebelum ini.

Ayu bertanya mengapa ayah dan mama berpisah… Ayah sebenarnya tidak tahu apa yang ayah harus jawap kepada Ayu. Ayah tidak dapat menyalahkan sesiapa. Itu takdir Illahi bahawa jodoh mama dengan ayah setakat itu sahaja. Mungkin kesilapan itu juga kesalahan ayah yang hanya ingin terbaik untuk keluarga kita, sehingga tidak kenal siang ataupun malam berusaha untuk memberi kemewahan kepada kita. Bukan kerana mahu kaya, tetapi hanya mahu supaya kita hidup dalam kesenangan dan berkemampuan untuk segala. Ya, supaya ayah dapat sentiasa bersama mama dan Ayu. Rupanya pemikiran ayah juga meleset. Mama bukan memerlukan apa-apa. Mungkin mama merasa sepi di rumah tanpa ayah. Apa kan daya, ayah bukanlah orang yang senang. Makan-minum harus dibiaya, semua harus dijaga, pakaian dan teduhan harus ada. Kerana itu, ayah telah berusaha.

Ayu, ayah tahu Ayu marah terhadap ayah kerana tidak ada di depan mata. Ayah faham akan soalan Ayu kenapa selama ini ayah tidak menghubungi Ayu. Ayah bukan hanya pernah cuba mencari dan datang ke sana untuk tujuan itu, tetapi yang pasti halangan dan benteng telah terlalu lama dibina dan terlalu teguh untuk diroboh. Mungkin dendam itu tak sudah, mungkin juga menjaga maruah. Tetapi apakah erti maruah kalau siksaan itu terlalu pahit untuk ditelan dan terlalu bisa untuk ditahan. Walaupun malu dan segan, ayah tetap ayah dan sangat merindui Ayu selama ini. Telah ayah mohon segala bantuan kaum kerabat, sanak saudara dan juga rakan taulan untuk berusaha mencari anaknda termasuk teman ayah, Goh, yang sering kena saman polis kerana memandu terlalu laju supaya awala sampai ke pekan Maran. Hanya pada tika ini sahaja ayah dapat berita dari teman ayah, Dato’ Yaakub, yang berusaha melalui rakannya, seorang guru bahawa Ayu anak yang bijak dan pintar, tekun dan baik budi serta halus bahasa, kini sekolah di sekolah menengah di Pekan Maran. Pujian pengajar usaha ibu bukan sia-sia.

Amat nyata mama telah menjaga Ayu dengan baik dan prihatin. Kerana inilah ayah tidak mahu memisahkan Ayu daripada ibu yang penyayang. Hanya ayah yang berdosa dan harus menanggung dosa ayah selama ini. Ayah tahu Ayu tidak dapat mengampun atau maafkan ayah kerana meninggal Ayu. Ayah tidak meminta salam atau kasihan dari Ayu. Ayah hanya datang untuk melihat wajah Ayu dan menanya khabar. Kalau Ayu tidak dapat terima ayah, ayah faham. Penerimaan itu bukanlah sesuatu yang senang untuk diberi, seperti juga dosa untuk diampuni. Kita bukan malaikat seperti yang sebahagian orang fikirkan, kita juga bukan anak iblis semasa jodoh tak panjang. Kita hanya manusia biasa yang punya rasa, dendam yang ditunjuk, kasih yang dipupuk, dan segala macam perasaan, pahitnya pilu, sakitnya rindu, bisanya luka dan parut yang masih menjadi tanda.

Bukan ayah tidak mahu membawa Ayu pulang. Ayah mahu supaya Ayu lebih baik dan pandai daripada ayah yang serba kurang ini. Ayah telah lakukan terlalu banyak kesilapan dalam hidup ayah, kerana terlalu sayang kepada keluarga. Kesilapan ayah yang teramat besar adalah sampai mangabaikan keluarga kerana ingin memberi kesenangan kepada keluarga sampai kerja tanpa mengenali waktu untuk keluarga, atau rehat atau makan sekalipun. Apakah erti kekayaan tanpa kasih sayang? Ayah tidak pasti. Tapi pada waktu itu, ayah hanya ingat apakah erti kasih sayang tanpa kemampuan untuk menyenangkan dan membahagiakan keluarga. Tiada makna kalau kita tetap dengan kasih sayang tapi papa kedana. Yang paling penting untuk ayah adalah perlindungan, makan-minum, pakaian dan ketenangan untuk keluarga tercinta. Tetapi mungkinkah andaian ayah meleset sehingga bonda meninggalkan ayah untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Sayang, ayah harap bonda dapat memaafkan ayah kerana kurang memahami tindak tanduk orang Melayu dari Semenanjung Malaysia kerana ayah lebih akrab dengan masyarakat orang di sini di mana semua orang adalah saudara dan rapat tidak mengira bangsa, bahasa atau agama. Setiap orang dilayan sama, baik keluarga ataupun jiran, rakan ataupun taulan. Itulah negeri asal ayah. Kami tidak terpegun makan semeja walaupun bukan sebangsa atau agama.

sumber http://johansutrio.blogspot.com/2009/10/warkah-seorang-ayah-kepada-anaknya.html

Tidak ada komentar: